KUALA LUMPUR: Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) dan Agmo Holdings Bhd (Agmo), menjalinkan usaha sama strategik membangunkan aplikasi tenaga bersih digital untuk memajukan sektor tenaga bersih.
Usaha sama yang diwujudkan antara anak syarikat milik penuh Solarvest, Solarvest Energy Sdn Bhd dan anak syarikat Agmo, Agmo Capital Sdn Bhd dijangka dapat memanfaatkan pengalaman pengendalian projek yang kukuh Solarvest bersama kepakaran teknologi Agmo.
Kerjasama itu bakal membangunkan penyelesaian digital untuk memperkemas dan mengautomasikan kitaran hayat projek tenaga bersih.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata pembangunan akan dijalankan dalam beberapa peringkat, bermula dengan peningkatan kepada penawaran semasa Solarvest, termasuk penyelesaian Vestech EcoHomes, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) hijau, Powerbee dan pengurusan Persijilan Tenaga Boleh Diperbaharui.
"Dengan mengubah penyelesaian ini menjadi aplikasi digital, Solarvest dapat mengoptimumkan penawaran tenaga bersih dan proses pengurusan projeknya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga bersih.
"Sebagai peneraju industri, Solarvest akan melaksanakan penyelesaian inovatif ini untuk memastikan keberkesanannya sebelum dilancarkan kepada pasaran yang lebih luas.
"Selepas pelancaran berjaya, aplikasi ini akan memberi manfaat kepada masyarakat umum dengan meningkatkan keterlihatan produk tenaga bersih dan pembangunan projek," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) Solarvest dan Agmo bersempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa ke-6 (ISES) 2024, di sini hari ini.
Pemeteraian MoU disaksikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas & Ketua Pegawai Eksekutif Agmo, Tan Aik Keong.
Chun Shiong berkata, sektor tenaga bersih yang berkembang pesat memerlukan penyelesaian yang bebas kerumitan yang menyatukan perkhidmatan tenaga bersih, selain mempermudahkan operasi perniagaan.
"Inovasi ini akan menjadi penting dalam membantu Malaysia mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui, membolehkan perniagaan mengembangkan operasi mereka melalui proses digital dan automasi.
"Kerjasama kami dengan Agmo menandakan lonjakan besar dalam misi kami untuk memacu inovasi dan kelestarian dalam sektor tenaga bersih.
"Aplikasi digital yang sedang kami bangunkan akan merevolusikan cara kami mengurus dan mengembangkan penyelesaian tenaga bersih, menawarkan pengalaman yang lancar dan terintegrasi kepada pengguna," katanya.
Sementara itu, Aik Keong berkata, inisiatif inovatif dalam sektor tenaga bersih menunjukkan komitmen Agmo untuk menerajui inovasi industri.
"Dengan menggabungkan kepakaran luas Solarvest dalam tenaga bersih dengan penyelesaian digital kami yang maju, aplikasi ini dijangka akan menjadi perubahan besar, menawarkan platform komprehensif yang menjadikan tenaga bersih lebih mudah diakses dan diuruskan untuk kedua-dua perniagaan dan pengguna, secara efektif menyokong matlamat kelestarian Malaysia," katanya.
SOURCE : Berita Harian