KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 ke-6, acara asas untuk dialog dan inovasi tenaga mampan, akan diadakan pada 20-21 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bertemakan “Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi”, sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, manakala, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjadi hos serta pengendalian oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sidang kemuncak tersebut, yang menjadi acara paling utama dalam arena tenaga lestari.

Acara itu dijangka menarik penyertaan dari rantau ini dan seterusnya, berdasarkan prestasi kejayaan tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia dan Pengerusi Penganjur ISES 2024, Datuk Hamzah Hussin berkata agensi kerajaan tersebut berada di barisan hadapan dalam membentuk masa depan tenaga negara.

ISES 2024 akan memainkan peranan penting dalam memacu Malaysia ke arah matlamat 70 peratus gabungan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Kami mengalu-alukan rakan kongsi untuk mempamerkan komitmen mereka terhadap amalan kelestarian serta inovasi, menyumbang kepada kepimpinan global dalam sektor tenaga mampan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ISES 2024 akan merangkumi sesi pleno dan bengkel khusus yang diketuai oleh pakar tenaga serta peneraju terkemuka.

Sesi ini akan meneroka pelbagai topik, termasuk mobiliti hijau, pemodenan grid serta penyepaduan prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat ke dalam strategi pelaburan termasuk pembiayaan.

Menurut SEDA, acara itu menekankan kepentingan pembangunan teknologi tenaga baharu selain usaha memupuk bakat muda untuk memastikan masa depan yang teguh bagi sektor tenaga.

Ruang pameran yang dinamik akan mempamerkan penyelesaian tenaga lestari terkini, dengan program perdagangan dan sesi pemadanan perniagaan yang direka untuk merangsang kerjasama dan perkongsian strategik, katanya.

Peluang rangkaian akan menyediakan forum untuk pemimpin tenaga dan pihak berkepentingan agar mampu bertukar idea termasuk menjalin hubungan berharga, seterusnya, memperkukuh peranan sidang kemuncak itu sebagai pemangkin untuk tindakan dan perkongsian tenaga lestari.

Usaha Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan 12 projek negara telah memenangi Anugerah Tenaga ASEAN pada 2023 untuk penggunaan amalan tenaga lestari.

SOURCE : Bernama


Hosted By

Organised By

Managed By

Platinum Partner

Diamond Partners

Gold Partners

Sapphire Partners

Topaz Partners

VIP Lounge Partner

Supporting Organisation

STEM Partner

Digital Partner

Media Partners