KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan pada Khamis, sebelum caj yang akan dikenakan untuk akses pihak ketiga kepada grid tenaga Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diambil kira sebelum semua skim berkaitan Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dilaksanakan bulan hadapan.

"Kami akan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh berhubung CRESS sebelum membentangkan cadangan kerajaan. Berhubung caj pihak ketiga, ia akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan bersama pihak berkepentingan dan peserta industri dan dipersetujui semua sektor yang terbabit," katanya pada sidang sempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa ke-6 (ISES) 2024 di sini hari ini.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan CRESS bermula September ini untuk meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan tenaga hijau.

Melalui konsep akses grid terbuka, pihak ketiga (TPA) boleh membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan.

Pengenalan program CRESS itu ialah sebahagian daripada usaha PETRA di bawah Inisiatif GREENS Madani atau Government Renewable Energy Enhancement for Niche Sector bertujuan menyokong hasrat peralihan tenaga sektor berkeutamaan tinggi.

Pelaksanaan pembekalan elektrik itu akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), manakala Single Buyer (SB) dan Grid System Operator (GSO) akan berperanan sebagai pengendali pasaran dan sistem.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, CRESS menerapkan konsep di mana TPA boleh menjual secara langsung kepada pembeli menggunakan grid transmisi milik Tenaga Nasional Bhd (TNB).

"Apabila menggunakan grid transmisi TNB akan ada sedikit caj di mana jumlahnya Belum dimuktamadkan. Konsepnya seperti membayar toll apabila Kita menggunakan laluan berkaitan," katanya.

Beliau berkata, menerusi CRESS kerajaan akan terus mempercepat dan meningkatkan pelaksanaan mekanisme grid terbuka, memudahkan akses yang lebih besar kepada elektrik hijau untuk perniagaan melalui perjanjian pembelian tenaga pihak ketiga atau korporat.

Katanya, negara akan beralih secara strategik daripada model pembeli tunggal untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi mengurangkan risiko sistem bekalan elektrik negara, menggalakkan penyertaan dan persaingan yang lebih besar dalam industri bekalan tenaga dan dalam kalangan pemegang kepentingan RE.

"Peralihan ini akan menggalakkan pasaran kompetitif untuk tenaga boleh diperbaharui, membawa kepada pengurangan kos, peningkatan keyakinan pelabur dan mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga bersih.

"Ia juga menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui bukan solar seperti biogas, biojisim, dan mini-hidro untuk mempelbagaikan sumber penjanaan kuasa sambil memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem tenaga," katanya.

Fadillah berkata, bagi memperkukuhkan komitmen kerajaan, kuota Tarif Galakan (FiT) sebanyak 190MW untuk pembangunan biogas, biojisim, dan mini-hidro akan diperuntukkan melalui e-bidaan.

"Pada masa yang sama, Pihak Berkuasa Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia akan menjalankan kajian kelompok tenaga bio dalam mendapatkan sumber elektrik hijau daripada sumber bukan solar yang akan dibenarkan di bawah CRESS yang baru diperkenalkan," katanya.


Hosted By

Organised By

Managed By

Platinum Partner

Diamond Partners

Gold Partners

Sapphire Partners

Topaz Partners

VIP Lounge Partner

Supporting Organisation

STEM Partner

Digital Partner

Media Partners