KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Usaha memperkasakan generasi akan datang merupakan langkah penting untuk mengekalkan momentum ekonomi Malaysia, titah Putera Mahkota Pahang hari ini.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah negara perlu komited terhadap peluang pendidikan legasi dan memupuk bakat melalui program pembelajaran berterusan dan sesi perkongsian ilmu seperti Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024.

"Kita mesti menyediakan platform untuk inovator muda menyumbang kepada matlamat kelestarian kita. Dengan menerapkan elemen kelestarian ke dalam kurikulum sekolah, kita boleh menyemai sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan kepimpinan dalam diri kanak-kanak sejak usia muda lagi.

"Ini termasuk langkah-langkah seperti menerapkan teknologi hijau dalam projek sekolah dan membentuk kelab kelestarian untuk menggalakkan pelajar menyelidik dan berinovasi dalam bidang sains alam sekitar," titah baginda menerusi ucapan pada majlis penutup ISES 2024, sambil menambah universiti dan institusi penyelidikan tempatan juga memainkan peranan penting dalam usaha tersebut.

Tengku Hassanal bertitah dengan menyediakan program khusus dalam tenaga boleh baharu, kejuruteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, generasi muda akan dibekalkan dengan maklumat dan kemahiran yang diperlukan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa masa depan.

"Perkongsian dengan institusi antarabangsa dan terkenal boleh menambah baik lagi program ini yang dapat menyediakan perspektif dan kepakaran global kepada pelajar kita," titah baginda.

Menurut baginda, kelestarian adalah usaha yang berterusan dan kemajuan Malaysia dalam tenaga boleh baharu daripada mengembangkan kapasiti solar hinggalah kepada merintis teknologi cekap tenaga menunjukkan komitmen negara untuk meminimumkan jejak karbon.

Putera Mahkota Pahang bertitah pencapaian itu menunjukkan komitmen bersama Malaysia untuk mewujudkan negara yang lebih baik, lebih hijau dan lebih bersih untuk generasi akan datang.

"Walaupun pelepasan karbon kita kurang daripada satu peratus di peringkat global, kita perlu menjadi contoh teladan kepada seluruh dunia," titah beliau.

Tengku Hassanal bertitah Malaysia akan terus melabur dalam teknologi canggih, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta melaksanakan dasar yang akan mempercepatkan kemajuan dalam sektor tenaga dan air.

Menurut baginda memupuk persekitaran yang menggalakkan kreativiti dan pembangunan teknologi akan membuka jalan kepada pembangunan jangka panjang dan masa depan yang lebih berdaya tahan.

ISES 2024 yang berlangsung selama dua hari mulai 20 Ogos, dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi” itu dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd.

SOURCE : BERNAMA


Hosted By

Organised By

Managed By

Platinum Partner

Diamond Partners

Gold Partners

Sapphire Partners

Topaz Partners

VIP Lounge Partner

Supporting Organisation

STEM Partner

Digital Partner

Media Partners