PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 ke-6, acara asas untuk dialog dan inovasi tenaga mampan dijadualkan pada 20 dan 21 Ogos 2024 ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia berkata, ISES 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuktikan kepimpinan Malaysia dalam peralihan tenaga mampan rantau ASEAN.
Katanya, acara anjuran SEDA yang dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. itu bertemakan ‘Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi’.
“Negara telah menetapkan sasaran bercita-cita tinggi untuk mencapai 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan kuasanya menjelang 2050.
“Matlamat ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mencapai neutraliti karbon menjelang tahun yang sama.
“Sidang kemuncak itu akan menjadi platform untuk meneruskan objektif ini dengan memupuk perkongsian serantau dan global, berkongsi amalan terbaik dan mempamerkan inovasi terkini dalam bidang tersebut,” katanya dalam kenyataan.
SEDA berkata, sidang kemuncak itu akan merangkumi sesi plenari dan bengkel mendalam yang diketuai oleh pakar dan pemimpin tenaga yang terkenal.
“Sesi tersebut akan meneroka pelbagai topik, termasuk mobiliti hijau, pemodenan grid dan penyepaduan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi pelaburan dan pembiayaan.
“Acara itu juga akan menekankan kepentingan membangunkan teknologi tenaga baharu dan memupuk bakat muda untuk memastikan masa depan yang teguh bagi sektor tenaga,” jelasnya. – UTUSAN
SOURCE : Utusan Malaysia