KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini bertitah agar generasi baharu di negara ini di perlu diperkasakan dan didedahkan dengan elemen kelestarian.
Titah baginda, usaha itu perlu digerakkan di peringkat pendidikan awal sehingga universiti demi memastikan matlamat kelestarian negara dapat dicapai.
“Melangkah ke hadapan, melibatkan dan memperkasakan generasi akan datang adalah kritikal untuk mengekalkan momentum kita.
“Kita mesti komited untuk meninggalkan legasi (seperti) peluang pendidikan dan memupuk bakat melalui program pembelajaran berterusan dan sesi perkongsian ilmu seperti ini. Kita mesti menyediakan platform untuk inovator muda menyumbang kepada matlamat kelestarian kita.
“Dengan memasukkan kelestarian dalam kurikulum sekolah kita, kita dapat menanamkan rasa tanggungjawab alam sekitar dalam diri anak-anak sejak usia muda,” titah baginda.
Tambah baginda lagi, platform yang disediakan itu dapat menggalakkan generasi baharu berinovasi dalam pelbagai bidang di negara ini.
“Ini termasuk langkah-langkah seperti memasukkan teknologi hijau dalam projek sekolah dan membentuk kelab kelestarian untuk menggalakkan pelajar menyelidik dan berinovasi dalam bidang sains alam sekitar.
“Universiti dan institusi penyelidikan kita juga memainkan peranan penting dalam usaha ini.
“Dengan menyediakan program khusus dalam tenaga boleh diperbaharui, kejuruteraan alam sekitar, dan pembangunan lestari, kita memberi anak-anak kita maklumat dan kemahiran yang mereka perlukan untuk menghadapi cabaran masa depan,” titah baginda lagi.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) keenam 2024 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Bertemakan ‘Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi’ ISES 2024 dianjurkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Persidangan selama dua hari itu berjaya mengumpulkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara bagi merangka hala tuju peralihan tenaga negara.
SOURCE : Buletin TV3